Thursday, 22 November 2012

MENGENALI BAHASA


DEFINISI BAHASA






Nelson Francis pula mendefinisikan bahasa sebagai satu sistem bunyi yang dihasilkan oleh alat tutur yang digunakan oleh sekelompok manusia sebagai wahana atau cara untuk menjalankan apa-apa sahaja aktiviti masyarakat mereka.





Albert B. Cook (1977) mendifinisikan bahasa sebagai “…..a system of arbitrary vocal symbols and grammartical signals by means of which the members of the speech community communicate, interact and transmit their culture.” Oleh itu, bagi Cook bahasa adalah satu sistem simbol pertuturan yang arbitrari dan penanda kenahuan yang digunakan oleh anggota sesebuah komuniti.






Samsuri (1978) menyatakan bahasa adalah alat yang dipakai untuk membentuk fikiran dan perasaan, keinginan dan perbuatan. Selain itu, sebagai penanda bangsa, bahasa merefleksi atau menggambarkan latar belakang budaya seseorang pengguna atau penuturnya.






Edward Sapir (1948:8) telah mendefinisikan bahasa sebagai “ a purely human and non instinctive method of communicating ideas, emotions and desires by means of a system of voluntary produced symbols”. Sapir berpendapat, bahasa merupakan satu alat atau cara yang hanya dimiliki manusia untuk berkomunikasi, menyampaikan idea, emosi dan kehendak mereka.








SIFAT-SIFAT BAHASA



1. Mempunyai sistem

Setiap bahasa mempunyai peraturan atau sistemnya yang tersendiri. Sistem bahasa dilihat dari sudut unit/ unsur/ komponen bahasa yang disusun mengikut cara-cara tertentu. Sistem bererti susunan teratur, berpola dan membentuk suatu keseluruhan yang bermakna atau berfungsi. Sistem ini dibentuk oleh sejumlah unsur atau komponen yang berhubungan secara fungsional antara satu sama lain dan bersifat sistematis dan sistemis. Sistematis bermaksud bahasa tersusun menurut satu pola, iaitu ia tidak tersusun secara sembarangan. Sistemis pula bermaksud bahasa bukan merupakan sistem tunggal tetapi terdiri daripada sub-sub sistem atau sistem bawahan yang terdiri daripada fonologi, morfologi, sintaksis dan semantik. Unit atau unsur bahasa disusun mengikut cara-cara tertentu, contohnya fonem, mofem, kata, frasa, klausa dan ayat. Sistem bunyi dalam bahasa Melayu dan bahasa Arab misalnya, adalah berbeza-beza.

2. Mempunyai lambang
Sesuatu lambang biasanya dikaitkan dengan unsur tanda. Unsur tanda terdiri daripada penanda dan petanda. Selain dipakai sebagai istilah generik, daripada semua termasuk kajian semiotik juga merupakan sesuatu yang dapat menandai atau mewakili idea, fikiran, perasaan, benda dan tindakan secara langsung dan alamiah. Misalnya, kalau di kejauhan kelihatan ada asap membumbung tinggi maka kita tahu bahawa di sana ada api sebab asap merupakan tanda akan adanya api. Lambang tidak bersifat langsung dan alamiah. Lambang menandai sesuatu yang lain secara konvensional, tidak secara alamiah dan langsung. Lambang juga sering disebut bersifat arbitrari, iaitu tidak adanya hubungan langsung yang bersifat wajib antara lambang dengan yang dilambangkan.

3. Terdiri daripada bunyi

Bunyi bahasa dihasilkan oleh alat ucapan manusia dan bermakna. Bunyi bahasa ialah fonem (fon, fonem, fonemik). Bahasa pada asasnya terdiri daripada bunyi-bunyi melainkan bahasa isyarat yang sangat terhad penggunaannya. Bunyi dihasilkan oleh alat pertuturan manusia. Oleh itu, bahasa manusia tidak akan terdiri daripada ketukan mesin taip, warna, bau, resepi, perubahan suhu ataupun campuran bahan kimia. Manusia boleh menghasilkan beribu-ribu bunyi melalui pelbagai cara.

4. Bermakna
Semua ujaran bahasa yang dihasilkan perlu difahamai oleh masyarakat pendengar. Contohnya bahasa Jepun yang diucapkan oleh penuturnya hanya difahami oleh masyarakat Jepun, tetapi tidak difahami oleh penutur Turki. Lambang-lambang bunyi bahasa yang bermakna dalam bahasa merupakan satuan–satuan bahasa yang mewujudkan mofem, kata, frasa, klausa, ayat dan wacana. Semua satuan ini memiliki makna. Oleh kerana bahasa itu bermakna, maka segala ucapan tidak mempunyai makna adalah bukan bahasa. Justeru, bentuk-bentuk bunyi yang tidak bermakna dalam bahasa apapun bukanlah bahasa kerana fungsi bahasa adalah menyampaikan mesej, konsep, idea atau pemikiran.

5. Arbitrari
Tidak akan berlaku hubungan hayati antara bunyi yang dilafazkan atau ditulis dengan benda atau objek. Walau bagaimanapun, antaranya perlu bersifat konvensional. Arbitrari bermaksud sewenang-wenangnya, berubah-ubah atau tidak tetap, tidak adanya hubungan wajib antara lambang bahasa dengan konsep atau pengertian yang dimaksudkan oleh lambang tersebut. Contohnya, antara [unta] dengan yang dilambangkannya iaitu “sejenis binatang berkaki empat yang biasa ditunggani”. Kita tidak dapat menjelaskan sebab binatang tersebut dilambangkan dengan bunyi [unta] bukanya [tanu] atau [unat]. Tentu hanya ada satu bahasa yang meskipun berbeza, tetapi perbezaannya tidak terlalu banyak. Ada pendapat yang mengatakan bahawa ada sejumlah kata dalam bahasa apa-apa sekali pun yang lambangnya berasal daripada bunyi yang diwakilinya. Selain itu, penutur asli juga tidak boleh bertanya punca binatang itu diberikan nama unta kerana sebahagian daripada nama yang telah diberikan itu tidak mempunyai jawapan atau bersebab.



6. Bersifat konvensional
Maksud bahasa bersifat konvensional ialah semua aspek bahasa sudah disepakati oleh masyarakat penutur bahasa berkenaan. Oleh itu, semua penutur bahasa tersebut mematuhi bahawa lambang tertentu mewakili objek, perkataan atau peristiwa. Ini bererti ciri yang terdapat dalam sesuatu bahasa diiktiraf oleh penutur natifnya. Persetujuan dilakukan sama ada secara sedar ataupun tidak. Hal ini bermaksud semua anggota masyarakat berkenaan harus mematuhi konvensi, bahawa lambang tertentu digunakan untuk mewakili konsep yang diwakilinya. Contohnya, jika perkataan kereta merujuk kepada sejenis kenderaan beroda empat, maka angota masyarakat bahasa berkenaan harus mematuhinya. Jika tidak dipatuhi atau menggantikannya dengan lambang lain maka komunikasi akan bercelaru. Kekonvensionalan bahasa terletak pada kepatuhan para penutur bahasa untuk menggunakan lambang itu sesuai dengan konsep yang dilambangkannya. Contoh lain, jika penutur bahasa Turki mengucapkan “ders” sebagai “pelajaran”, maka semua penutur bahasa tersebut akan mengucapkan “ders” sebagai merujuk kepada pelajaran.

7. Produktif
Apabila bahasa dikatakan bersifat produktif, ini bererti, walaupun unsur bahasa terhad tetapi jumlah yang dibentuk oleh bahasa tidak terbatas. Ini bermaksud banyak hasilnya atau lebih tepat terus-menerus menghasilkan. Sekiranya bahasa itu dikatakan produktif meskipun unsur-unsur bahasa itu terbatas, tetapi dengan unsur yang jumlah yang terbatas itu dapat dibuat satuan-satuan bahasa yang jumlahnya tidak terbatas meskipun secara relatif, sesuai dengan sistem yang berlaku dalam bahasa itu. Contohnya, fonem-fonem /m/, /a/ ,/a/ dan /s/ dapat menghasilkan satuan-satuan bahasa /m/-/a/-/s/-/a/, /s/-/a/-/m/-/a/, /a/-/s/-/a/-/m/, dan lain-lain.

8. Unik
Bahasa yang bersifat unik bermaksud mempunyai ciri-ciri khas yang spesifik yang tidak dimiliki oleh bahasa lain. Ini bermaksud mempunyai ciri yang tersendiri. Salah satu keunikan yang terdapat dalam bahasa Melayu ialah ia bersifat aglutinatif (kata dasar menerima imbuhan untuk menukar makna). Contohnya: jalan, berjalan, perjalanan, menjalankan, jalanan, dijalankan.

9. Universal
Setiap bahasa mempunyai kesamaan ciri-ciri tertentu dengan bahasa lain. Maksud universal iaitu adanya ciri-ciri yang sama yang dimiliki oleh setiap bahasa yang ada di dunia ini. Ciri-ciri yang universal ini merupakan unsur bahasa yang paling umum yang biasanya boleh dikaitkan dengan ciri-ciri atau sifat-sifat bahasa lain. Oleh kerana bahasa itu merupakan ujaran, maka ciri universal dari bahasa yang paling umum adalah bahawa bahasa itu mempunyi bunyi bahasa yang terdiri dari vokal dan konsonan. Contohnya, dalam bahasa Melayu terdapat enam vokal tiga diftong dan sembilan belas konsonan. Manakala, dalam bahasa Arab pula terdapat tiga vokal pendek, tiga vokal panjang dan 28 konsonan. Bahasa Inggeris pula mempunyai enam belas vokal termasuk diftong dan 24 konsonan. Contoh yang lain ialah semua bahasa mempunyai kata kerja misalnya dalam bahasa Melayu terdapat kata kerja transitif, manakala dalam bahasa inggeris terdapat transitive verb.

10. Dinamis
Bahasa boleh menerima pengaruh bahasa lain. Bahasa adalah satu-satunya milik manusia yang tidak pernah lepas dari segala kegiatan dan gerak manusia sepanjang keberadaan manusia itu sebagai makhluk yang berbudaya dan bermasyarakat. Tidak ada kegiatan manusia yang tidak disertai oleh bahasa. Oleh kerana keterikatan dan keterkaitan bahasa itu dengan manusia sedangkan dalam kehidupannya dalam masyarakat, kegiatan manusia itu tidak tetap dan selalu berubah maka, bahasa itu juga menjadi ikut berubah. Iaitu menjadi tidak tetap dan tidak statik. Oleh kerana itulah bahasa disebut dinamis iaitu bahasa boleh menerima pengaruh bahasa lain. Misalnya bahasa Melayu menerima atau meminjam perkatan seperti dari bahasa Arab (akhirat) , bahasa Cina (mee), bahasa Inggeris (komputer), bahasa Sanskrit (dunia), bahasa Tamil (kedai) dan lain-lain.

11. Bervariasi
Variasi disebabkan oleh ramainya penutur dalam sesuatu bahasa dan luasnya kawasan bahasa tersebut. Variasi bahasa dilihat dari segi idiolek, dialek dan ragam bahasa. Anggota masyarakat suatu bahasa biasanya terdiri dari pelbagai status sosial dan latar belakang. Oleh kerana latar belakang dan lingkungannya tidak sama, maka bahasa yang mereka gunakan menjadi bervariasi atau beragam. Idiolek adalah variasi atau ragam bahasa yang bersifat perseorangan. Manakala dialek pula merupakan variasi bahasa yang digunakan oleh sekelompak anggota masyarakat pada suatu tempat atau suatu waktu. Misalnya di Indonesia mengenal adanya bahasa Jawa dialek Banyumas, bahasa Jawa dielek Tegal dan sebagainya. Isoglos adalah satu istilah bagi merujuk sempadan antara satu dialek dengan dialek yang lain. Variasi bahasa lazimnya disebut dengan nama dialek regional, dialek areal, atau dialek geografi. Ragam bahasa pula adalah variasi bahasa yang digunakan dalam situasi, keadaan atau untuk keperluan tertentu. Untuk situasi formal digunakan ragam bahasa yang disebut ragam baku, untuk situasi tidak formal digunakan ragam yang tidak baku.

12. Bebas
Bahasa yang bersifat bebas atau bukan mandatori bermaksud tidak boleh dipaksa oleh individu atau kerajaan untuk memaksa masyarakat itu menerima atau mengguna pakai apa-apa aspek bahasa seperti perkataan-perkataan tertentu secara paksaan. Misalnya, jika ada seorang menteri memaksa atau memperkenal penggunaan perkataan “infotaiment” sebagai satu perkataan yang merujuk kepada sesuatu konsep, maka perkataan tersebut jika tidak dapat diterima oleh masyarakat bahasa itu, maka perkataan tersebut akan lenyap begitu sahaja.

13. Manusiawi
Bahasa manusia adalah milik manusia. Bahasa adalah suatu aktiviti manusia dan bukannya aktiviti makhluk lain. Hanya manusia yang boleh berbahasa. Makhluk lain seperti haiwan, tidak boleh berbahasa. Telah diketahui juga bahawa burung, monyet dan orang hutan dapat mengeluarkan bunyi pertuturan seperti manusia. Tetapi ternyata bahasa manusia lebih baik kerana keupayaan manusia untuk mencantumkan bunyi-bunyi itu menjadi suku kata tetapi ini tidak berlaku kepada haiwan. Banyak haiwan boleh dilatih menutur bahasa manusia seperti burung kakatua, tetapi haiwan seperti itu hanya boleh menutur sahaja tetapi tidak boleh menggunakan bahasa dalam konteks yang betul.

No comments:

Post a Comment