Sunday, 18 November 2012

Contoh Karangan

Banjir
Banjir adalah bencana alam yang sering melanda negara kita terutamanya di negeri -negeri Pantai Timur, Semenanjung Malaysia. Kebiasaannya negeri-negeri ini akan mengalami musim tengkujuh pada setiap akhir tahun. Hujan lebat yang kerap berlaku pada musim itu menyebabkan banjir di kawasan tersebut.

Banjir kerap melanda kawasan-kawasan yang rendah seperti kawasan berhampiran sungai. Banyak harta benda yang musnah serta binatang ternakan dan tanaman mati. Mereka yang terlibat seperti para petani akan mengalami kerugian besar.

Banjir juga boleh mengancam nyawa. Ramai yang lemas kerana bermain dengan air banjir yang alirannya  deras dan dalam. Apatah lagi jika mereka tidak tahu berenang.

Air banjir yang keruh menghanyutkan pelbagai benda yang berbahaya seperti kayu tajam, tali dan sebagainya. Ada yang nahas kerana terlanggar atau terperangkap dengan benda-benda yang dihanyutkan air deras ini. Air banjir juga tercemar dengan pelbagai kotoran daripada air kumbahan, bangkai binatang dan sebagainya. Keadaan ini boleh menyebarkan penyakit. Justeru, janganlah mengambil air banjir untuk diminum, apatah lagi jika tidak dimasak.   

Oleh itu, apabila tiba musim hujan kita mestilah berhati -hati. Adalah lebih baik jika kita berpindah ke tempat yang lebih selamat sebelum air naik.

No comments:

Post a Comment