Tuesday, 11 December 2012

SAJAK KEMERDEKAAN




KETAATAN DALAM KEMERDEKAAN

Berjanjilah kami demi keberanian
melalui suara-suara hijaz
putaran kemerdekaan

menyusur sungai-sungai mati
kepada insan seikat masyarakat
yang telah bebas.

Dalam sejarah kepahitanmu
terselit larian aku anak kecil
dibentuk dalam kelas-kelas rendah
hingga ke kamar dewasa
jiwa ini digantung loceng mongel
lalu direntap-rentap
terbawa-bawa.

Titisan darah ibuku
pada papan cendana pejal
masih melekat di situ
di perigi yang telah terkambus
hanyir masih terbau
tembuni dalam diam berubah fosil
atas tanah yang merdeka.

Seperti selalu
berlarilah kami dengan sebuah bendera kecil
menyamai pemberian hadiah bapamu
kami menyebut MERDEKA!!!
MERDEKA!!! MERDEKA!!!!

NAFISA
Marang, Terengganu


MENYAMBUT MERDEKA

Sambutannya berulang lagi
saban tahun ia kembali
keranamu Malaysia aku di sini
menabur bakti ibu pertiwi.

Jalur gemilang berkibar megah
sana sini mencipta indah
namun segelintir tiada endah
satukan hati bukannya mudah.

Hanya Malaysia negara tercinta
pejuang bersusah untuk merdeka
jangan siakan apa yang ada
sayangilah tumpah darah kita.

ZAINAL ABIDIN AHMAD
BTP

Monday, 3 December 2012

HIMPUNAN SAJAK-SAJAK UNTUK PENDIDIK




WARKAH UNTUK MU PENDIDIK
nukilan: Subiyana Abd Wahab

Pendidik yang baik ialah pendidik yang beriman
Yang hatinya disalut taqwa kepada Allah
Jiwanya penuh penghayatan terhadap Islam
Yang sentiasa haus dengan ilmu
Yang sentiasa dahaga akan pahala
Yang ketinggian ilmunya adalah maruah dirinya
Yang tidak pernah jemu dan bosan dalam menimba dan mencurah ilmu
 
Pendidik yang baik ialah yang lunak dalam tutur katanya
Yang tidak bermegah dengan ilmu yang dimilikinya
Yang sentiasa berbuat kebajikan kepada manusia lainnya
Yang mempunyai ramai kawan di serata alam
 
Pendidik yang baik ialah yang menghormati anak didiknya
Yang sentiasa berbakti kepada masyarakat sekelilingnya
Yang menjaga keharmonian anak bangsanya
Yang mendidik anak bangsa mendalami ilmu pengetahuan
Yang mengamalkan hidup penuh kesederhanaan
Kerana dunia baginya adalah rumah sementara menuju akhirat
 
Pendidik yang baik sentiasa bersedia untuk mencurahkan ilmunya
Yang hidupnya sentiasa mencontohi sifat Rasulullah
Yang boleh diajak berbincang dan berbicara
Yang anak didiknya ibarat jiwa dan raganya
Yang sentiasa bersujud penuh kesyukuran dengan rahmat Allah ke atasnya
 
Pendidik yang baik tidak tahu membazirkan masa
Kehidupannya dikelilingi lautan ilmu
Biarpun sudah di usia senja
Digagahi juga demi anak bangsa
 
Untukmu pendidik yang baik
Untukmu pendidik yang beriman
Doaku moga keikhlasanmu mencurahkan ilmu
InsyaAllah akan dituai hasilnya di akhirat sana…..

Pemenang Pertama
Peraduan Menulis Puisi Edux2000






PENDIDIK AGUNG
nukilan: Noryusri Mansor

Tanpa syak, hayatilah sirah
Lihatlah keagungan sejarah
Menceritakan airmata berdarah
Kisah seorang pendidik ummah
Tidak goyah
Tidak lemah
Tidak mengalah
Walau dihujani ancaman fitnah
Nabi Muhammad utusan Allah
Tutur kata budi bicara terserlah
Menjadi teladan menjadi contoh
Berkata dan berbuatlah
Itulah rahsia dan hikmah
Menjadi pendidik disegani ummah
Tidak kedengaran di telinga
Tidak kelihatan  di mata
Tidak bermain di minda
Baginda kecewa, alpa dan besar kepala
Hakikatnya Baginda bersemangat waja
Berjaga dan sedar dirinya siapa
Pemenang Kedua
Peraduan Menulis Puisi Edux2000



GURU
nukilan: Nor Shahida Baharuddin
   
Kau insan yang mulia
Mendidik generasi demi generasi
Tanpa mengenal erti jemu
Siang malam berdoa agar
Anak bangsa berjaya dan berjaya
 
Guru
Kau ibarat lilin
Menerangi jalan yang gelap
Menyuluh ke jalan yang terang
Namun kekadang tersasar
Oleh badai yang datang
 
Guru
Kami anak didik
Bersyukur kepada Ilahi
Kerana menjadi insan yang terpilih
Hasil usaha murnimu
 


Guru
Kami berdoa agar kau guru
Bahagia dan tenang selalu
Di dunia dan akhirat
Salam kasih dan sayang
Dari kami
Buatmu guru
 
 
Pemenang Ketiga
Peraduan menulis puisi Edux2000



BBM "Power Point" Untuk Bahasa Melayu

 sila klik di sini
 
https://docs.google.com/open